04 July 2013

Sate Penyebab Kanser



Sate, kambing golek, kepak panggang dan semua macam panggang merupakan antara makanan kegemaran rakyat Malaysia! Dipanggang diatas arang yang sangat panas, menghasilkan daging yang berjus dan rangup. Tapi tahukah anda, memanggang boleh meningkatkan risiko kanser kolon?!

Menurut statistik terkini, kanser kolon merupakan kanser kedua yang paling banyak berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia selepas kanser payudara. Pada tahun 2008, World Health Organisation (WHO) melaporkan bahawa satu daripada 33 rakyat Malaysia berisiko tinggi untuk mendapat kanser ini.

kolon = usus besar

Kanser kolon ialah kanser di bahagian usus besar. Ia juga boleh dikenali sebagai kanser kolorektal sekiranya pesakit turut mendapat kanser di bahagian rektum (beberapa inci terakhir usus besar sebelum bersambung dengan dubur). Ia bermula dengan ketumbuhan gumpalan kecil di dinding usus; polip. Sekiranya tiada langkah pencegahan dan rawatan diambil, ketumbuhan menjadi tidak terkawal dan membawa kepada kanser kolon. Kanser ini akan menyebabkan usus tersekat, berdarah dan mengganggu proses pembuangan najis. Ia juga boleh merebak ke organ lain dan menyebakan kanser yang lain pula jika tidak dirawat.

ketumbuhan polip yang berbentuk seperti cendawan

Sebenarnya, bukan sahaja daging yang dipanggang boleh meningkatkan risiko kanser. Sebarang daging seperti ayam, lembu, kambing, ikan dan juga kerang yang dibakar sehingga kehitaman akan menghasilkan sejenis bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser. Bahagian hitam yang hangus itulah yang menjadi sumber bahan kimia tersebut. Setelah dimakan, ia akan meresap ke dalam sel badan, merosakkan DNA di dalam sel nukleus dan boleh membawa kepada kanser.

dibakar sehingga hangus kehitaman

Apabila protein pada daging atau kerang dimasak sehingga hangus kehitaman, sejenis kimia iaitu heterocyclic amines (HCA) terbentuk – inilah bahan karsinogen yang boleh menyebabkan kanser. Pada suhu yang sangat tinggi, asid amino yang semula jadinya terdapat di dalam protein akan bergerak balas dengan sejenis bahan kimia di dalam daging – creatine lalu membentuk HCA. Bukan sahaja kaedah memanggang; menggoreng juga boleh menyebabkan daging menghasilkan HCA. HCA boleh merosakkan DNA pada sel dan menyebabkan kanser kolon.

api meluap

Selain itu, lemak dan minyak yang terhasil daripada daging yang dipanggang akan jatuh ke dalam arang dan menghasilkan api yang tinggi meluap. Tindak balas ini akan menyebabkan Polycyclic aromatic hydrocarbons (PAHs) terbentuk – sejenis bahan karsinogen yang turut menyebabkan kanser. Asap yang dihasilkan daripada api yang meluap mengandungi PAHs dan akan menyelaputi makanan yang dipanggang. PAHs turut terdapat pada kehangusan yang terbentuk di atas daging selepas dipanggang. Risiko kanser perut akan meningkat sekiranya terdedah dengan PAHs.

Bagaimana caranya untuk mengurangkan risiko ini?
  • Paling mudah, sudah tentu mengurangkan pengambilan daging panggang atau, membuang bahagian yang hangus kehitaman itu semasa santapan
  • Menukar cara memasak daripada memanggang dan menggoreng kepada; penyediaan sup, stim, atau memasak dengan suhu yang sederhana tanpa hangus.
  • Perap daging/kerang dengan lebih lama akan mengurangkan HCA dan PCAs yang terhasil.
  • Pastikan anda sapu minyak pada grill untuk mengelakkan daging melekat dan hangus
  • Pastikan grill sentiasa bersih dan buang segala sisa hangus dan arang untuk mengelakkan bahan kimia yang terdapat padanya tidak berpindah kepada makanan baru yang hendak dimasak
  • Elakkan memasak di bahagian yang sudah hangus kehitaman
  • Potong daging nipis dan kecil agar ia cepat masak supaya kurang terdedah dengan asap berbahaya
  • Buang segala lemak yang terdapat pada daging sebelum memanggang untuk mengurangkan minyak yang menghasilkan api yang meluap
  • Buang kulit pada ayam
  • Jangan panggang bersentuhan dengan arang, pastikan jarak grill dengan arang tidak terlalu dekat untuk mengelakkan banyak kehitaman terbentuk
  • Pastikan api tidak bersentuhan dengan makanan
  • Terus pindahkan daging yang telah masak dari grill supaya tidak terdedah lama dengan arang
  • Gunakan drip tray untuk mengumpul minyak yang terhasil daripada daging
  • Makan lebih banyak sayur dan buah (contohnya timun) sebagai antioksida yang melawan kanser
drip tray

Untuk pengetahuan anda, sayur atau buah yang dibakar seperti jagung bakar tidak akan menghasilkan bahan kimia yang menyebabkan kanser. Oleh itu, pangganglah jagung, tempeh, brokoli dan sayur lain yang semestinya lebih berkhasiat!



Sumber:

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...